Saturday, April 30, 2011

MANTAN MUFTI INGATKAN UMAT DAN TEGUR SINIS ULAMAK MUDA UMNO

Rakyat Malaysia jangan terus jadi tukang angguk
Ismail Hashim   
SHAH ALAM, 30 April: Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Hashim Yahaya mengingatkan seluruh rakyat Malaysia jangan terus menjadi seperti pokka yang asyik mengangguk sahaja kerjanya sepanjang hayat.

Datuk Hashim (gambar) berkata, rakyat negara ini mesti berani menggunakan kuasa mereka untuk membuat perubahan setelah lebih 50 tahun mengiyakan apa sahaja dilakukan oleh kerajaan.

"Jika rakyat negara lain seperti Tunisia menjadi pokka (sejenis haiwan yang suka menganggukkan kepala) lebih 30 tahun, Mesir juga lebih 30 tahun, rakyat Malaysia pula menjadi pokka lebih dari 50 tahun," kata beliau serius dalam seloroh.

Untuk makluman, binatang pokka atau sesumpah mirip mengkarung yang kerjanya hanya mengangguk sahaja tanpa sekali pun mengingkari perbuatan itu meskipun berlaku apa sahaja di sekelilingnya.

Bekas pensyarah UM dan UIAM berusia 72 itu berucap demikian ketika bercakap dalam Bicara Buku Prof Dr Syeikh Yusuf Al-Qaradhawy di Masjid Negeri, dekat sini, tengah hari tadi.

Turut serta adalah Presiden Teras, Haji Mohd Azmi Abdul Hamid, Jurnalis dan Editor Majalah Sabili Indonesia, Herry Nurdi dengan moderator oleh Ustaz Nazmi Karim.

Slot Bicara Buku anjuran Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia (Salimah) sempena mesyuarat agung pertama hari ini.

Dalam pada itu, Datuk Hashim kesal dengan tulisan Ulama Muda UMNO dalam sebuah akhbar harian yang dengan mudah menyimpulkan rakyat tidak mentaati kerajaan sekarang ini boleh dibunuh.

"Rakyat hanya wajib mentaati kerajaan yang mentaati Allah dan Rasul-Nya," tegasnya sambil menghuraikan dengan lebih lanjut tentang duduk perkara sebenar.

Menurutnya, mereka yang membaca tulisan seumpama itu hendaklah berhati-hati jangan mudah terpengaruh dengan huraian yang jauh menyimpang dari kehendak dan pengajaran agama.

Sementara itu, ketika membahaskan isi kandungan buku Syeikh Yusuf, Datuk Hashim berkata, terdapat satu pengajaran besar yang terdapat di dalam buku itu.

"Setiap orang yang dilahirkan sebagai Muslim adalah seorang ahli politik yang boleh menggunakan kuasa mereka untuk menentukan siapa yang layak memerintah negara ini.

"Rakyat Malaysia sudah memberikan masa kepada kerajaan yang ada ini melebihi lima puluh tahun dan kini sampai masanya untuk mereka menggunakan kuasa ini memilih parti yang berhasrat mengangkat perjuangan kebenaran," tegasnya sambil menunjukkan isyarat mengundi.

Ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung pertama Salimah selepas itu, Datuk Hashim berkata, penubuhan NGO Islam ini tepat pada masanya kerana berlaku berbagai masalah dalam negara ketika ini.

Menurutnya, perjuangan untuk merubah keadaan ke arah penegakan kebenaran akan memakan masa, perlukan pengorbanan dan bersedia dengan cabaran menyentuh perasaan.
Turut berada di pentas adalah Penasihat-penasihat Salimah, Cikgu Azmi dan Mohideen Abdul Kader.

PAS tegas akan bersama Pakatan - Mustafa Ali


Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 30 April: PAS dengan tegas menyatakan akan terus bersama dengan Pakatan Rakyat bagi mempastikan proses pembentukan sistem dua parti berjalan dengan baik di negara ini, kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek sebagai kenyataan yang tidak sihat untuk perkembangan politik di negara ini.

Mustafa (gambar) mengulas kenyataan Najib yang sekali lagi menjemput PAS untuk bersama dengan Barisan Nasional (BN) walaupun sudah beberapa kali ditolak oleh PAS.

Chua pula berkata, MCA tidak akan berada dalam kabinet lagi jika parti itu tidak mendapat sokongan dalam pilihan raya umum akan datang.

Najib hari ini mempelawa PAS agar menyertai BN sambil berkata, sudah tiba masanya PAS meninggalkan DAP atas alasan ternyata tidak pernah sekalipun memperjuangkan Islam.

“Kenapa buat baik dengan DAP? Adakah DAP boleh perjuangkan Islam?

“Hadi (Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang), cukup-cukuplah dengan DAP, tinggalkan DAP, masuk BN,” kata Najib ketika berucap pada majlis Perjumpaan Mesra Perdana Menteri Bersama Rakyat Dewan Undangan Negeri kawasan Manir di Kampung Pulau Bahagia dekat sini.

Najib mengadakan lawatan kerja ke Terengganu hari ini. Sebelum ini timbalan beliau, Tan Sri Muhyidin Yassin juga datang ke Dun Manir, kawasan yang diwakili oleh Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Harun Taib.

"Suka saya tegaskan sekali lagi, PAS akan tetap komited bersama dengan Pakatan Rakyat - bagi mempastikan proses pembentukan sistem dua parti berkembang dengan baik di negara ini demi kepentingan masa depan Malaysia," kata Mustafa dalam kenyataannya kepada Harakahdaily hari ini.

Bagi Mustafa, kenyataan Najib dan Chua ini hanya kenyataan politik.

Menurut Mustafa, mempunyai orang Melayu sepenuhnya di pihak kerajaan manakala pembangkang pula Cina adalah satu ciri-ciri kemusnahan kepada negara yang tercinta ini.

"Jadi PAS tidak akan membiarkan dirinya ke arah itu," tegas beliau.