Saturday, June 18, 2011

Hina PAS Boleh Berkira Lagi, Tapi Hina Islam...

KL 18 Jun 11: Hina PAS mungkin boleh berkira dan tolak ansur lagi. Tapi hina Islam tidak boleh dimaafkan, dan perlukan jalan penyelesaian segera, menurut pandangan Weblog Ibnu Hasyim. Oleh itu cadangan PAS mahu kerajaan menubuhkan satu panel khas pengawasan syariah yang berfungsi mengawal penyiaran dan memandu media perdana supaya tidak bercanggah dengan agama Islam perlu diberi perhatian segera.

Sebentar tadi Ketua Penerangannya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini menegaskan, langkah itu penting berikutan insiden penyiaran karikatur bertajuk “Kekeliruan Kes Rogol” dalam akhbar milik Umno, Utusan Malaysia, yang didakwa menyeleweng dari ajaran Islam sebenar.“Dialog ‘peralatan itu tak boleh jadi saksi, sebab dia tak ada telinga dan tak ada mata! Dia hanya Besi.’ menghina hukum Islam danmenimbulkan kekeliruan umat Islam lembaga pengawasan syariah ini bukan sahaja mengawal agar penyiaran tidak bercanggah dengan syarak, tetapi turut memandu media perdana agar setiap bahan penerbitan yang boleh merosakkan minda atau akhlak remaja dapat dikawal,” kata beliau dalam satu kenyataan disiarkan di blognya hari ini.
Pesuruhjaya PAS Pahang ini berkata, setiap bahan penyiaran perlu disaring kerana ia mempunyai kesan langsung kepada rakyat. “Mutakhir ini pelbagai penulisan yang bersifat kontroversi, menjejas perpaduan masyarakat dan kaum, dan menggugat akidah seolah-olah menggambarkan bahawa sudah tiada langsung kawalan kepada etika dan tanggungjawab sosial terhadap pemberitaan,” kata Tuan Ibrahim.
Berkaitan isu penyiaran karikatur di Utusan Malaysia yang menghina Islam, kata Tuan Ibrahim, “saya menasihatkan pelukis karikatur dan editor Utusan Malaysia yang terlibat untuk meminta maaf dengan kadar segera.”
Malah kata beliau, kesilapan mereka boleh dianggap sebagai satu penghinaan besar kepada hukum syarak dan juga telah mengelirukan orang ramai mengenai ajaran Islam yang sebenar dalam isu rogol. Beberapa pihak mengecam Utusan Malaysia ekoran tindakannya menyiarkan karikatur itu.
Semalam, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menggesa Utusan Malaysia memohon maaf secara terbuka kepada umat Islam. Presidennya Dr Muhd Razak Idris menegaskan karikatur itu yang disiarkan dalam Utusan Malaysia mengandungi unsur-unsur menghina perundangan Islam.
Persatuan Ulama Malaysia (PUM) dan Dewan Pemuda PAS Kelantan mengecam penyiaran karikatur itu sambil menyifatkan ia menghina Islam dan mahu penerbit dan pelukis karikatur itu didakwa. Akhbar Utusan Malaysia awal minggu ini menggambarkan mangsa rogol membuat laporan kepada pihak dalam dua situasi berbeza secara jelas menghina golongan ulama dan Islam.
Karikatur itu yang disiarkan pada muka surat 15 Utusan Malaysia, menyaksikan dua situasi berbeza yang terpaksa dialami oleh mangsa rogol.
Dalam situasi pertama, mangsa rogol telah mengemukakan aduan kepada jabatan agama, namun ditolak kerana menurut karikatur itu mangsa memerlukan empat orang saksi sedangkan mangsa hanya mempunyai rakaman video. Sementara itu dalam situasi kedua, mangsa telah membuat laporan polis dan pegawai yang menguruskan kes itu berkata rakaman video boleh dijadikan bukti.
Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Nik Mat pula menyifatkan Utusan Malaysia sebagai “Denmark Malaysia” kerana menyiarkan karikatur yang menghina syariat Islam. Beliau berkata demikian dengan merujuk kepada akhbar Denmark yang pernah menyiarkan karikatur yang menghina Islam dengan menerbitkan kartun Nabi Muhammad memakai serban yang bentuknya mirip sebutir bom.
"Kerajaan UMNO/BN perlu berhati-hati dan memilih pegawai yang 'celek agama' dalam mengendali urusan media negara ini, supaya tidak lagi berlaku seperti itu. Bos No 1 BN pun kena celek agama juga.. baru dia tahu apa kakitangannya buat.." kata editor Weblog Ibnu Hasyim lagi. (IH)

Friday, June 17, 2011

Negara kebajikan: PAS tubuh panel pelaksana, rangka Buku Hijau

Oleh Syed Mu’az Syed Putra
June 17, 2011
Panel khas itu akan memperincikan konsep negara berkebajikan, yang diketengahkan dalam ucapan dasar Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 3 Jun lalu. — gambar fail
KUALA LUMPUR, 17 Jun — PAS menubuhkan satu panel khas pelaksana yang akan memperincikan konsep negara berkebajikan — dalam bentuk “Buku Hijau” — bagi menjelaskan kepada rakyat menjelang pilihan raya umum ke-13.
Pembentukan panel khas itu diputuskan pada satu mesyuarat parti itu di sini petang semalam.
Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata panel itu, yang dibentuk dalam dua minggu selepas muktamar parti tersebut, akan memperincikan konsep negara berkebajikan untuk dijelaskan kepada rakyat dalam waktu terdekat.
Panel khas itu akan mengadakan mesyuarat pertama pada Isnin ini untuk memperincikan konsep negara berkebajikan, yang diketengahkan dalam ucapan dasar Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 3 Jun lalu.
Ucapan dasar itu bertemakan “Membangun Negara Berkebajikan”.
Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian akan mengetuai panel itu.
Ia turut dianggotai oleh Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, dua ahli jawatankuasa kerja pusat Dr Dzulkefly Ahmad dan  Idris Ahmad, Pengerusi Institut Kajian Polisi PAS Dr Zuhdi Marzuki dan Timbalan Ketua Dewan Muslimat Dr Siti Mariah Mahmud.
“(Peranan) panel khas ini berkuat kuasa hari ini,” katanya ketika dihubungi.
“Melalui panel ini, kami akan memperincikan konsep negara berkebajikan dengan mengemukakan ciri-ciri sebuah negara berkebajikan dan kita akan dokumenkan konsep ini,” kata Salahuddin.
“Kita akan dokumenkan konsep ini dalam bentuk buku dan Buku Hijau ini akan diedarkan di seluruh negara dalam masa terdekat,” katanya.
Meskipun ini bukan kali pertama PAS mengetengahkan konsep negara kebajikan, tetapi ia diserang hebat oleh Umno.
Manifesto pilihan raya umum 2008 PAS juga bersandarkan tema negara kebajikan.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata,  keputusan pemilihan PAS yang memihak kepada golongan profesional adalah kemenangan kepada DAP kerana parti itu berjaya “mempengaruhi” parti Islam itu mengubah dasar memperjuangkan negara Islam kepada negara berkebajikan.
Selain itu dua bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi turut mengkritik konsep itu.
Hadi pada sidang media yang diadakan hujung minggu lalu berkata negara berkebajikan boleh dibuktikan sekiranya Pakatan Rakyat diberi mandat untuk memerintah negara.
Selain itu, Ahli Parlimen Marang itu juga berkata, beliau akan mengeluarkan sebuah buku tentang negara berkebajikan.

Sunday, June 12, 2011

SAFF LANTIKAN LENGKAPKAN PASUKAN PRU 13 PAS DALAM PAKATAN RAKYAT



June 12, 2011
KUALA LUMPUR, 12 Jun — Selangor dan Terengganu merupakan dua daripada lima negeri menyaksikan ditukar pesuruhjaya PAS, dilihat terdiri daripada kalangan profesional.
Melaka, Sabah dan Negeri Sembilan turut berubah tampuk pimpinan.
Pengumuman barisan Kabinet baru PAS dan negeri-negeri dibuat presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa kerja pusat kali pertama petang ini susulun muktamar tahunan minggu lalu.
Di Selangor, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Meru Dr Abd Rani Osman dilantik sebagai pesuruhjaya PAS yang baru menggantikan Datuk Dr Hasan Ali, yang merupakan Exco Kerajaan Negeri manakala di Terengganu Ahli Parlimen Kuala Terengganu Mohd Abdul Wahid Endut menggantikan Datuk Harun Taib.
Harun merupakan Ketua Dewan Ulama PAS.
Di Melaka, Adly Zahari dilantik sebagai pesuruhjaya PAS menggantikan Abdul Ghani Abd Rahman sementara di Negeri Sembilan, Adun Paroi Mohd Taufek Abd Ghani diangkat menerajui parti itu menggantikan Zulkefly Mohamad Omar dan di Sabah Aminuddin Ali pula dilantik pemimpin nombor satu negeri di bawah bayu itu menggantikan Muhamad Abdullah.
The Malaysian Insider difahamkan kedua-dua Abd Rani dan Mohd Abdul Wahid merupakan golongan profesional. Begitu juga lantikan baru di Melaka, Sabah dan Negeri Sembilan.
Pemilihan pusat PAS yang berlangsung 3 Jun lalu menyaksikan calon kalangan profesional mengatasi kumpulan ulama.
Ini termasuklah jawatan timbalan presiden, tiga kerusi naib presiden dan 12 daripada 18 kerusi jawatankuasa kerja pusat.
Pesuruhjaya PAS di negeri-negeri lain dikekalkan iaitu Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (Kelantan), Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (Pahang), Abu Bakar Hussain (Perak), Datuk Seri Azizan Abdul Razak (Kedah), Salleh Man (Pulau Pinang), Hashim Jasin (Perlis), Mohd Nor Mohamad (Wilayah Persekutuan), Adam Ahid (Sarawak) dan Datuk Dr Mahfodz Mohamed (Johor).
Datuk Mustafa Ali kekal memegang jawatan setiausaha agung, buat penggal kedua sementara Tuan Ibrahim diangkat sebagai ketua penerangan yang baru menggantikan Idris Ahmad.
Mustafa akan dibantu tiga penolong setiausaha agung iaitu Datuk Takiyuddin Hassan, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dan Ahmad Sabki Yusuf.
Hadi berkata keputusan itu diputuskan sebulat suara dalam mesyuarat yang diadakan itu.
“Semua lantikan ini berkuat kuasa serta-merta dan setiausaha agung akan menghantar surat kepada mereka. Ia dibuat berdasarkan perlembagaan PAS di mana presiden boleh melantik jawatan tertentu dengan persetujuan jawatankuasa kerja pusat.
“Keputusan ini dicapai dalam mesyuarat jawatankuasa kerja PAS pusat kali pertama hari ini,” katanya.
Sementara itu, untuk jawatankuasa kerja PAS pusat yang dilantik ialah bekas timbalan presiden PAS Nasharudin Mat Isa, Idris, Asmuni Awie, Anuar Tahir, bekas menteri besar Perak Datuk Seri Nizar Jamaluddin, Zulkefly Mohammed Omar dan Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus menjadikan keseluruhan jawatan itu seramai 25 orang.

Saturday, June 4, 2011

Usul-Usul Muktamar PAS 57
Harakahdaily   



1. Himpunan BERSIH 2 (PAS Pusat)
• Menyedari ruang demokrasi semakin terhimpit oleh kerajaan BN, walaupun negara hampir mencapai kemerdekaan negara 54 tahun.

• Menyedari BN takut bertarung secara anak jantan di gelanggang yang sama rata dengan memperalatkan SPR.

• Menyedari tuntutan BERSIH 1 belum dilaksanakan,

1. Akses kepada media awam yang bebas dan adil kepada semua parti politik
2.Melaksanakan penggunaan dakwat kekal untuk menghalang pengundian berganda.
3.Memansuhkan sistem undi pos
4.Umur 21 tahun secara  automatik didaftar sebagai pengundi.

Maka Muktamar Parti Islam Semalaysia Pas Kali 57 yang bersidang di Dewan Dato' Fadhil Mohd Noor Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohammad (KUIZIM) pada1 hingga 3 Rejab 1432H bersamaan  3 hingga 5 Jun 2011

• Menggesa seluruh rakyat Malaysia daripada berbagai peringkat menyertai BERSIH 2 pada 9 Julai 2011 di Bandaraya Kuala Lumpur.

• Menggerak semua organ parti dan semua lapisan pimpinan parti Pas, PR dan NGO untuk menjayakan himpunan tersebut.



2. Usul Mengutuk Fitnah Menggunakan Video (Dewan Ulamak)
• Menyedari bahawa fitnah adalah salah satu daripada dosa besar yang dikutuk oleh Allah SWT kerana ia melibatkan maruah dan jati diri seorang.

• Menyedari bahawa tindakan ini adalah tindakan yang tidak bermoral setelah tidak mampu berhadapan dengan hujah fakta dan data.

• Menginsafi bahawa tindakan. menggunakan  video dan media baru  sebagai saluran untuk menyebarkan fitnah untuk kepentingan politik adalah lambang keruntuhan tamaddun sebuah negara dan bangsa.

Maka Muktamar Parti Islam Semalaysia Pas Kali 57 yang bersidang di Dewan Dato' Fadhil Mohd Noor Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohammad (KUIZIM) pada1 hingga 3 Rejab 1432H bersamaan  3 hingga 5 Jun 2011

• Mengutuk tindakan kerajaan BN yang membenarkan video lucah di dalam televisyen dan media cetak seolah-olah penayangan ini dilesenkan oleh kerajaan.

• Mengutuk sikap membisu di kalangan ulamak rasmi kerajaan yang tidak tegas mengutuk tindakan yang tidak berakhlak, seolah-olah penayangan video ini mendapat restu daripada mereka.



3. Usul Pemalsuan Kad Pengenalan (Dewan Pemuda)
• Menyedari bahawa Pilihanraya Umum ke 13 yang akan datang bakal menjadi medan pertarungan paling sengit dalam sejarah politik Malaysia di antara Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat.

• Menyedari bahawa UMNO/BN sepertimana track record yang lalu, akan sanggup menggunakan apa jua cara by hook or by crook, untuk mengekalkan kuasa di tangan mereka terutama selepas mereka dilanggar tsunami politik pada Pilihanraya Umum ke 12 tahun 2008.

• Menyedari bahawa sejak dua tahun kebelakangan ini, sedang berlangsung satu projek sulit mengeluarkan kad-kad pengenalan terutamanya kepada warga asing dengan tujuan untuk didaftarkan sebagai pengundi.

• Menyedari ianya bukan satu rahsia lagi bahawa komplot dan perancangan yang sama pernah dilaksanakan di Sabah melalui 'Projek I.C' pada tahun 1980 an dan 1990 an bagi menumbangkan Kerajaan Sabah yang diterajui oleh Parti Bersatu Sabah (PBS) pada ketika itu di mana ratusan ribu pendatang tanpa izin dan penduduk tetap diberikan hak kerakyatan dan kad pengenalan dan seterusnya didaftarkan sebagai pengundi.

• Menyedari bahawa komplot dan perancangan sulit ini tidak lain tidak bukan adalah hasil unholly alliance antara UMNO/Barisan Nasional dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang menjadi merelakan diri mereka untuk dijadikan perkakas dan pada masa yang sama Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) membiarkan perkara ini berleluasa.

• Menyedari bahawa sudah lebih puluhan ribu warga asing diberikan kad pengenalan dan kebanyakannya telah didaftarkan sebagai pengundi di negeri-negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat seperti Selangor, Kelantan dan Kedah.

• Menyedari bahawa kepimpinan PAS dan Pakatan Rakyat (PR) seolah-olah tidak mengambil perhatian serius untuk menangani perkara ini.

• Menginsafi bahawa jika perkara ini dibiarkan berleluasa tanpa sebarang tindakan tegas diambil, ianya bakal menyebabkan PAS dan Pakatan Rakyat tewas teruk termasuk terlepas negeri-negeri yang dikuasai dalam Pilihanraya akan datang.

• Menginsafi bahawa keselamatan dan kedaulatan negara Malaysia yang kita cintai ini akan juga terancam jika pemberian kad pengenalan kepada warga asing secara besar-besaran untuk tujuan politik  ini tidak dihentikan,

Maka Muktamar Parti Islam Semalaysia Pas Kali 57 yang bersidang di Dewan Dato' Fadhil Mohd Noor Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohammad (KUIZIM) pada1 hingga 3 Rejab 1432H bersamaan  3 hingga 5 Jun 2011


Mengambil ketetapan bahawa:
a. Mendesak supaya satu Suruhanjaya Diraja Siasatan bagi menyiasat perkara ini ditubuhkan menurut Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 dengan perkenan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong di mana ahli-ahli suruhanjaya tersebut dilantik dari kalangan mereka yang berwibawa, bebas dan berkecuali.

b. Menuntut supaya Kementerian Dalam Negeri dan juga Jabatan Pendaftaran Negara khususnya mendedahkan secara terperinci statistik berapakah jumlah taraf kewarganegaraan dan kad pengenalan yang telah dikeluarkan kepada warga asing dan penduduk tetap terutamanya sejak sepuluh tahun kebelakangan ini mengikut negeri.

c. Mendesak supaya jentera PAS dan Pakatan Rakyat di negeri-negeri dan kawasan-kawasan  memantau secara rapi pergerakan komplot mengeluarkan kad pengenalan dan membuat tangkapan awam terhadap mereka jika didapati berlaku.

d. Sekiranya keadaan mendesak, PAS dan Pakatan Rakyat perlu mengambil satu tindakan undang-undang diambil terhadap JPN dan/atau SPR dan pada masa yang sama memohon satu perintaah injunksi sementara diambil bagi menggantung segala proses pengeluaran kad pengenalan kepada warga asing.

e. Memasukkan isu pemberian kad pengenalan kepada warga asing ini sebagai salah satu tuntutan di dalam agenda Bersih 2.0 yang akan mengadakan perhimpunan Bersih 2 pada 9hb Julai 2011.



4. Usul Dewan Muslimat PAS Pusat (Usul Pendidikan)
• Menyedari hampir keseluruhan umat lslam hari ini keliru dan terpedaya dengan kemilau sinar pendidikan yang berbentuk sekularisme hasilnya  kita sedang menyaksikan  insan yang berperibadi terpisah  (split personality) , separa sedar (sub-conscious) hilang daya tahan dan daya juang

• Menyedari senario keruntuhan akhlak yang amat parah di setiap peringkat umur, malah yang lebih menakutkan ialah mereka yang terpelajar tetapi berani melawan perintah Allah SWT dan tidak yakin dengan balasan akhirat.

• Menyedari  Kementerian Pelajaran telah mengambil langkah memperkenalkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan pada tahun 1989 dengan meletakan TAUHID sebagai asas terulung kepada falsafah dan struktur pendidikan Negara. Konsep Bersepadu di antara aqidah, ilmu, kemahiran, akhlak, nilai-nilai murni, aspek local dan global serta dunia dan akhirat menjadi wasilah dalam pelaksanaan Sistem Pendidikan Negara.

• Menyedari Subjek Pendidikan Islam dan Moral telah menjadi subjek teras di setiap peringkat persekolahan kerana subjek Pendidikan Islam adalah satu-satunya subjek yang mampu membangunkan diri manusia secara menyeluruh,  seimbang dan sepadu.

• Menyedari Sistem Pendidikan Negara berorientasikan peperiksaan,  maka matapelajaran Pendidikan Islam sekadar matapelajaran teras untuk dipelajari sahaja dan dijawab oleh pelajar di dewan peperiksan semata-mata, maka pengajaran dan pembelajarannya sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja.  Ia tidak dianggap penting sama sekali terutama dalam menentukan syarat pensijilan bagi setiap tahap peperiksaan  (UPSR, PMR dan SPM), malah ia dianggap subjek yang tidak langsung mempunyai nilai ekonomi dan keperluan pasaraan kerja.  Hasilannya tidak seorang pun boleh menafikan kegagalan Sistem Pendidikan Negara dalam melahirkan insan yang cemerlang di dunia dan akhirat.

Maka Muktamar Parti Islam Semalaysia Pas Kali 57 yang bersidang di Dewan Dato' Fadhil Mohd Noor Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohammad (KUIZIM) pada 1 hingga 3 Rejab 1432H bersamaan  3 hingga 5 Jun 2011  mengusulkan agar Kementerian Pelajaran Malaysia mengambil tindakan

1.       Meminda syarat pensijilan di peringkat UPSR, PMR dan SPM dengan menjadikan subjek pendidikan Islam sebagai syarat asas pensijilan bagi pelajar-pelajar beragama Islam.

2.       Meneruskan matapelajaran j-QAF yang diperkenalkan di sekolah rendah  diteruskan ke sekolah menengah untuk menjamin penguasaan Jawi, Al-Quran dan Fardu Ain kepada pelajar-pelajar beragama Islam sehingga tamat tingkatan 5.

3.       Mewajibkan ujian Tilawah Al-Quran kepada semua pelajar Islam di peringkat UPSR, PMR, dan SPM bagi memastikan semua pelajar Islam menguasai dan celik Al-Quran  dan sijil khas dikeluarkan kepada pelajar-pelajar.



5. Usul Mengenai Membantah Pengurangan Subsidi (Pandan Selangor)


• Menyedari tanggungjawab kerajaan ialah khadam rakyat yang dipertanggungjawab untuk memberi keselesaan kepada rakyat.

• Menyedari bahawa tugas kerajaan perlu memikirkan untuk kebajikan rakyat, bukan menekan rakyat.

• Menyedari bahawa hasil negara yang begitu banyak yang Allah anugerahkan kepada negara ini, malangnya telah berlaku penyelewingan dan rasuah sehingga pemimpin BN mengambil jalan pintas mengurangkan subsidi untuk rakyat.

Maka  Muktamar Parti Islam Semalaysia Pas Kali 57 yang bersidang di Dewan Dato' Fadhil Mohd Noor Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohammad (KUIZIM) pada1 hingga 3 Rejab 1432H bersamaan  3 hingga 5 Jun 2011
• Membantah tindakan kerajaan BN yang mengurangkan subsidi sehingga memberi kesan  kepada rakyat. Apabila kerajaan menaikkan harga petrol dan letrik ia akan memberi kesan kepada rakyat walaupun kerajaan cuba bermain silap mata kononnya 75% rakyat tidak terjejas dengan kenaikan tarif letrik seolah-olah rakyat tidak membeli barang keperluan dapur yang menggunakan  pengangkutan dan industri yang menggunakan letrik. Semua bebanan ini akan ditanggung oleh rakyat melalui "kesan berantai".

• Mengutuk tindakan kerajaan BN menarik subsidi gula RM116.6 juta sehingga berlaku kenaikan harga sebanyak 20 sen. Untuk 27 juta rakyat ditarik subsidi, sedangkan untuk PERMATA yang bukan sebuah kementerian diberi sebanyak RM111 juta.



6. Usul Kebajikan Bekas Anggota Tentera (Tenggara Johor)
• Menginsafi anggota tentera yang banyak menyumbang bakti kepada negara sehingga anasir surversif tidak boleh bermaharajalela di negara ini.

• Menginsafi banyak kebajikan bekas anggota terabai, sedangkan mereka pernah menyabung nyawa untuk keamanan negara  samaada ketika aman atau dharurat.

Maka Muktamar Parti Islam Semalaysia Pas Kali 57 yang bersidang di Dewan Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohammad (KUIZIM) pada1 hingga 3 Rejab 1432H bersamaan 3 hingga 5 Jun 2011 mengusulkan,

• Supaya kerajaan negeri Pakatan Rakyat menubuhkan Sekretariat Kebajikan Tentera Dan Veteran Malaysia (KERABAT) yang dipengerusikan oleh Menteri Besar/Ketua Menteri untuk memastikan kebajikan bekas pasukan tentera terjamin.

Prinsip negara Islam-berkebajikan, bukti PAS alami kemajuan besar, : Asri



June 04, 2011
GOMBAK, 4 Jun — Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyifatkan PAS sudah mula memperlihatkan “kemajuan memberangsangkan” memandangkan ia sanggup mengakui bahawa dalam al-Quran tidak disebut negara Islam, cuma ditekankan ialah negara berkebajikan.
Muktamar PAS kali ini dilangsungkan dengan penekanan ke atas tema negara berkebajikan, susulan daripada manifesto pilihan raya umum parti itu tiga tahun lalu.
Katanya, sekian lama istilah negara Islam memisahkan PAS atau menyukarkan parti itu bergerak lebih ke hadapan, namun hari ini dengan kenyataan Hadi akan memberi nafas baru yang lebih luas dan fleksibel kepada PAS.
“Cumanya, saya sedang meneliti apakah maksud ‘negara kebajikan’ yang hendak diwujudkan. Saya percaya Presiden PAS ada kerangka yang jelas.
“Ahli-ahli hendaklah difahamkan terlebih dahulu sebelum membicarakannya secara meluas. Ini kerana negara berkebajikan mempunyai pelbagai gambaran,” kata beliau.
“Saya mengalu-alukan kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam yang menyebut ‘apa yang penting adalah pelaksanaan. Kalau letak jenama saja tak laksana tak ada faedah. Kita mulakan dengan pelaksanaan negara berkebajikan, itu ada dalam al-Quran, Dia tak sebut negara Islam, Dia sebut negara berkebajikan’,” kata Asri dalam satu kenyataan hari ini.
“Bagi saya ini adalah satu kemajuan yang memberangsangkan dalam PAS,” kata beliau mengulas kenyataan Hadi semalam.
Secara umum, tambah beliau, dunia memahami negara berkebajikan adalah negara-negara yang memakai model nordik seperti di Norway, Denmark dan Sweden.
“Mungkin PAS ada model yang tersendiri. Apapun saya merasakan PAS akan dapat melangkah dengan lebih jauh dengan kenyataan tersebut,” katanya.
Pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Tahunan PAS Ke-57 semalam, Hadi berkata, belum tiba masanya untuk parti itu meninggalkan usaha membentuk ‘negara Islam’, isu yang disifatkan sebagai duri dalam daging dalam hubungannya bersama DAP sebelum ini.
Hadi dipetik berkata, PAS akan meneruskan gagasan negara berkebajikan yang disepakatinya bersama komponen Pakatan Rakyat kerana perkara yang lebih penting adalah pelaksanaan dan bukannya menumpukan jenama ‘negara Islam’ itu semata-mata.
“Belum tiba masanya (tinggalkan usaha bentuk negara Islam). Apa yang penting adalah pelaksanaan. Kalau letak jenama saja tak laksana tak ada faedah. Kita mulakan dengan pelaksanaan negara berkebajikan, itu ada dalam Al-Quran, Dia tak sebut negara Islam, Dia sebut negara berkebajikan.
“Sebab itu kalangan DAP melihat sendiri kerjasama kita dengan mereka. DAP kata mereka minum arak, kita tak boleh larang dia. Kita bukan macam kalangan setengah (pemimpin) BN yang boleh minum arak sama,” katanya.
Semalam Hadi menyampaikan ucapan dasar presiden bertemakan “Membangun Negara Berkebajikan”.
Asri, pensyarah dari Universiti Sains Malaysia berkata, pada masa yang sama bererti PAS terus bersama dengan gerakan Islam lain di dunia ini yang mula keluar dari retorik negara Islam kepada realiti kenegaraan yang sebenar yang diperlukan oleh manusia.
“Ya, tiada dalam Islam istilah negara Islam atau daulah Islamiyyah seperti yang disangka oleh sesetengah pihak,” kata beliau sambil menambah, ia satu istilah yang muncul ketika kebangkitan umat Islam menghalau penjajah.
“Sebelum itu, kitab-kitab fekah Islam hanya menyebut Darul Islam atau wilayah Islam yang merujuk kepada wilayah yang dikuasai oleh umat Islam ketika itu.
“Apabila perkataan daulah Islamiyyah, kemudian diikuti dengan kebangkitan Revolusi Syiah di Iran, maka perkataan daulah islamiyyah ini mula dipopular oleh para pejuang politik islami di seluruh dunia,” katanya.
Kata Asri, disebabkan istilah ini juga mereka berbalah, bahkan menuduh pihak lain kurang islam disebabkan tidak bersama dalam perjuangan menegakkan daulah islamiyyah atau negara Islam itu.
“Walaupun kadangkala pertentangan ada asasnya, namun sebahagiannya hanya disebabkan perbezaan istilah yang dipakai,” kata beliau lagi.
Cuma, menurut Asri, sekian lama ramai gerakan Islam yang memperjuangkan istilah itu, mereka masih gagal menetapkan satu takrifan yang jelas dan realistik.
Katanya, gambaran yang terlalu ideal tentang kenegaraan menjadikan ‘negara Islam’ itu bagaikan satu khayalan yang tidak berpijak di bumi nyata.
“Kita boleh lihat khayalan Hizbul Tahrir yang cuba berkembang di negara kita pada hari ini. Ia bolehlah dikatakan ‘utopia state’ yang hanya wujud di minda, tidak mungkin pada realitinya.
“Alhamdulillah, apabila gerakan Islam — sebahagian mereka benar-benar terlibat sendiri secara langsung dengan politik kenegaraan, maka mereka mula sedar tentang realiti sebenar sesebuah pemerintahan,” kata beliau lagi.
Justeru, Asri juga berkata, politik kenegaraan dan seninya sentiasa berubah mengikut keperluan suasana, namun prinsipnya kekal.
“Ini kerana Islam satu agama realistik. Perjuangan politik dalam Islam, bukanlah perjuangan menegakkan jenama negara, tetapi menegak tanggungjawab dan prinsip-prinsip keadilan yang dikehendaki oleh Allah dan rasul-Nya,” katanya.
Kata beliau, “bukan penting pada jenama, tetapi pada isinya.”
Jelas tokoh agama muda ini, Islam agama yang menjamin keadilan, keamanan, memelihara rakyat dari munkar dan menegakkan kebaikan, menyebarkan kebajikan dan seterusnya.
“Itulah negara yang dikehendaki oleh Islam. Soal mekanisme hukum sama ada hudud atau tidak, dibincangkan setelah ditegakkan prinsip dan tanggungjawab utama, diwujudkan suasana yang kondusif yang memungkin keadilan dan keindahan hukum itu berfungsi.
“Bukan masanya lagi. Tangguhkan dahulu isu-isu makanisme, tumpukan kepada tanggungjawab dan prinsip utama kenegaraan,” katanya lagi.

Friday, June 3, 2011

SAFF LENGKAP SESI 2011 - 2013 SEDIA HADAPI PRU 13


Jun 4, 11 8:57am
Kongsi 105
Pemimpin akar umbi dan popular PAS Mohamad Sabu sebentar tadi diumumkan sebagai pemenang jawatan timbalan presiden parti yang sengit dipertandingkan itu.
Keputusan itu diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman.
Mohamad meraih 420 undi bagi mengalahkan dua calon ulama - iaitu penyandangnya, Nasharudin Mat Isa (224 Undi) dan seorang lagi ulama disegani, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (399 Undi).

azlanPemilihan Mohamad (kanan) dikatakan yang mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin Pakatan Rakyat dijangka akan membolehkan parti itu lebih diterima di kalangan pengundi bukan Melayu dan memperbaiki peluang PAS pada pilihan raya umum akan datang.
Ini kali kedua Mohamad Sabu yang popular dan cekap terutama dalam menganjurkan demonstrasi jalanan bertanding jawatan timbalan presiden PAS. Sebelum ini, golongan bukan ulama seringkali gagal dilantik ke jawatan berkenaan.
Naib presiden

Bagi barisan naib presidennya pula, Abdul Halim mengumumkan perwakilan parti itu membuat keputusan untuk mengekalkan dua ahli parlimen penyandangnya di jawatan itu -- Salahuddin Ayub (Kubang Kerian) dan Datuk Mahfuz Omar (Pokok Sena).

azlanSalahuddin meraih 753 undi manakala Mahfuz pula mendapat 616 undi.

Bagi melengkapkan pasukan pilihan raya ini, para perwakilan turut memilih tokoh profesional, Datuk Husam Musa (660 Undi) ke jawatan naib presiden.

Tiga calon lagi kecundang dalam pemilihan sengit untuk jawatan berkenaan -- menteri besar Perak yang disingkirkan Datuk Seri Nizar Jamaluddin, exco kerajaan Kelantan Nik Mohamad Amar dan ketua penerangannya, Idris Ahmad.

Nizar mendapat 217 Undi manakala Nik Mohamad Amar meraih 321 Undi, diikuti Idris yang menerima 491 Undi.
AJK Pusat PAS
Bagi jawatan ahli jawatankuasa pusat PAS pula, Abdul Halim mengumumkan 18 nama berikut:
Mazlan Aliman (884)
Dr Hatta Ramli (765)
Kamarudin Jaffar (739)
Hanipa Maidin (735)
Azizan Abdul Razak (721)
Dzulkefly Ahmad (702)
Mujahid Yusuf Rawa (651)
Khalid Samad (643)
Ghani Shamsuddin (579)
Amiruddin Hamzah (576)
Abdul Wahid Endut (556)
Abu Bakar Chik (527)
Mohd Amar Abdullah (470)
Mahfodz Mohamed (449)
Siti Mariah Mmahmud (445)
Hassan Mohamed Ali (437)
Abdul Ghani Abdul Rahman (430)
Nuridah Salleh (416)

Senarai Keputusan Penuh Pemilihan PAS Pusat Sesi 2011/2013


PENGERUSI TETAP
Tuan Haji Ustaz Abu Kasim

TIMBALAN PENGERUSI TETAP
Tuan Haji Hussin Ismail

PRESIDEN
Abdul Hadi Awang, YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji

TIMBALAN PRESIDEN
Mohamad Sabu, Hj – 420 undi

NAIB PRESIDEN
1. Husam Musa , YB Dato’ -  660 undi
2. Mahfuz Omar, YB Dato – 616 undi
3. Salahuddin Ayub, YB – 753 undi

AHLI JAWATANKUASA KERJA
1. Abdul Ghani Abdul Rahman, Ustaz – 430 undi
2. Abdul Ghani Shamsuddin, Ustaz – 579 undi
3. Abdul Wahid Endut, YB Hj – 556 undi
4. Abu Bakar Chik, Dato’ Ustaz - undi
5. Amiruddin Hamzah, YB Ir. – 576 undi
6. Azizan Abdul Razak, YB Dato’ Seri Ustaz – 421 undi
7. Dzulkefly Ahmad, YB Dr -    undi
8. Hanipa Maidin, Hj – 735 undi
9. Hassan Mohamad Ali, YB Dato’ Dr. – 437 undi
10. Kamarudin Jaffar, YB Dato’ – 739 undi
11. Khalid Abd Samad, YB Hj. – 643 undi
12. Mahfodz Mohamed, Dato’ Dr. – 449 undi
13. Mazlan Aliman, - 804 undi
14. Mohd Amar Abdullah, YB Dato' Ustaz – 470 undi
15. Mohd Hatta Md Ramli, YB Dr. - 765 undi
16. Mujahid Yusof Rawa, YB Dr. – 651 undi
17. Nuridah Salleh, Ustazah - 416 undi
18. Siti Mariah Mahmud, YB Dr. – 445 undi